RUMPUN BAHASA MELAYU


Isnin, 28 November 2016

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

  Rumpun bahasa Melayu dapat diananlogikan kepada perkaitan kekeluargaan antara manusia dan juga perkaitan antara yang dekat dan jauh. Sekumpulan bahasa yang memperlihatkan lebih banyak ciri yang sama antara mereka akan menganggotai satu kelompok yang berlainan dengan kelompok yang lain yang memunyai anggota-anggotanya sendiri, walaupun antara dua kelompok itu masih juga terdapat perkaitan kekeluargaan.

      Bahasa-bahasa dimasukkan dalam kelompok-kelompok yang diberi nama-nama khusus berdasarkan lama-waktu atau time-depth masing-masing. Time-depth yang dimaksudkan ialah umur bahasa yang berkenaan dikira dari masa bahasa itu berpecah dari bahasa induknya. Begitu juga dengan lama-waktu sesuatu kumpulan bahasa itu adalah umur kumpulan yang berkenaan yang dikira dari tarikh kumpulan itu berpisah dari kumpulan yang lebih besar yang mempunyai pelbagai kumpulan yang lebih kecil. 

       Berdasarkan lama-waktu, bahasa-bahasa yang mempunyai perkaitan kekeluargaan, bahasa-bahasa yang digolongkan ke dalam filum, rumpun, keluarga, dan subkeluarga. Filum ialah kelompok bahasa induk yang paling tua usianya iaitu 5000 tahun ke atas. Rumpun ialah kelompok bahasa induk yang mempunyai lama-waktu antara 2500 hingga 5000 tahun. Kumpulan yang kurang dari 2500 tahun dikenali sebagai keluarga dan boleh dibahagikan kepada subkeluarga. Pembahagian ini dinamakan pengelompokan bahasa. Pembahagian rumpun kepada beberapa keluarga berdasarkan kepada ciri-ciri persamaan yang banyak antara satu sama lain itu dari sejumlah bahasa yang lain, dikelompokkan menjadi satu dan dinamakan keluarga bahasa. Demikian juga dengan pembahagian keluarga kepada subkeluarga.

 Pembahagian kelompok bukan sahaja berakhir di subkeluarga tetapi boleh diperincikan subkeluarga itu kepada subkeluarga dan seterusnya. Walau bagaimanapun, pada amnya kelompok kecil itu dikenali subkeluarga atau subkelompok dengan memberi keterangan lanjut berdasarkan nama bahasa atau tempat tertentu. Sebagai contoh, bahasa Melayu dan bahasa Iban termasuk dalam satu kumpulan yang sama iaitu subkeluarga tersebut hendaklah dinamakan subsubkeluarga dan ini merumitkan dan ahli-ahli linguistik berhenti pada istilah subkeluarga sahaja.


1.2 Objektif Kajian

1. Menghuraikan teori-teori asal usul bahasa Melayu 

2. Menghuraikan cabang-cabang bahasa Austronesia

3. Membincangkan perkembangan bahasa Melayu


1.3 Batasan Kajian

Batasan kajian yang dijalankan adalah berfokuskan kepada teori asal-usul bahasa Melayu, cabang-cabang bahasa Austronesia dan perkembangan bahasa Melayu.


1.4 Definisi Konsep

Berdasarkan konsep rumpun, keluarga, dan subkeluarga yang kawasan penyebaran bahasa-bahasa dari Formosa ke New Zealand dan Madagaskar ke Perpulauan Easter merupakan satu rumpun iaitu Austronesia. Jumlah bahasa yang terlalu banyak sehinggakan sukar untuk menentukan julat bahasa dalam rumpun bahasa Austronesia kerana di Indonesia sahaja terdapat lebih kurang 1400 bahasa dan di Filipina sebanyak 250 bahasa dan di Malaysia kira-kira 50 bahasa, maka jumlah pada keseluruhannya barangkali meningkat angka ribuan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), rumpun boleh didefinisikan sebagai keperindukan (orang-orang yang seketurunan, mempunyai nenek moyang yang sama), segolongan besar bangsa (bahasa) yang sama asal dan jenisnya, golongan yang sejenis.

             Istilah Austronesia untuk rumpun bahasa juga meliputi bahasa Melayu yang pertama kali digunakan oleh sarjana linguistik bandingan, iaitu Wilhelm Schamidt. Beliau banyak meneliti bahasa-bahasa yang terdapat dalam rumpun Austronesia dan juga bahasa-bahasa yang terdapat di daratan Asia. Dengan adanya perkataan dalam bahasa-bahasa di daratan Asia yang sama atau hampir sama dengan bahasa-bahasa di pulau-pulau di selatan. Schamidt membuat kesimpulan bahawa bahasa-bahasa itu satu waktu yang lalu berasal dari satu sumber yang sama tetapi perkaitan kekeluargaan itu disusur-galurkan kepada jarak masa yang sangat lama iaitu 5000 tahun ke atas. Sumber yang menurunkan bahasa di daratan dan di pulau-pulau itu diberi nama filum, iaitu filum Austrik. Istilah filum merujuk kepada kelompok bahasa yang lama waktunya 5000 tahun atau lebih. Oleh itu, perkaitan kekeluargaan bahasa-bahasa boleh dianalogikan sebagai perkaitan antara keluarga. Rumpun Austronesia mempunyai pecahan keluarga bahasa dan di bawahnya pula terdapat subkeluarga. 



2.0 HURAIAN DAN PERBINCANGAN


2.1 Teori asal usul bahasa Melayu

Teori yang menunjukkan kedatangan bahasa Melayu ke Nusantara ialah berlaku pergerakan manusia yang mendiami wilayah Asia Tenggara dalam gelombang yang besar iaitu dari daerah Yunan . Perkara ini berlaku sejak zaman tahun 2500 sebelum masihi. Kedatangan manusia yang pertama ini dikenali sebagai Melayu-Proto. Orang Melayu-Proto ini telah pandai menjalankan aktiviti asas seperti membuat alat bercucuk tanam, membuat barang pecah-belah dan alat perhiasan. Zaman mereka ini dikenali sebagai Zaman Neolitik atau Zaman Batu Baru. Seterusnya ialah berlaku gelombang kedua kira-kira tahun 1500 sebelum masihi. Golongan ini dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka ini mendiami kawasan tepi pantai dan lembah-lembah sungai di Asia Tenggara. Aktiviti atau kegiatan  utama yang dijalankan ialah berlayar dan bercucuk tanam.

  Selain itu, terdapat juga teori yang mengatakan bahawa bahasa Melayu berasal dari Asia Tengah. Melalui kajian seorang ahli prasejarah juga guru besar di Iranian Institute and School for Asiatic Studies iaitu R.H. Geldern berpendapat bahawa kajian terhadap kapak tua atau beliung batu yang diperbuat daripada batu di sekitar Hulu Sungai Brahmaputra, Irrawady, Salween, Yangtze dan Hwang. Bentuk dan jenis kapak ini dikatakan sama dengan kapak yang ditemuinya di beberapa kawasan di Nusantara. Kesimpulan yang beliau kemukakan ialah kapak tua tersebut telah dibawa orang Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.

 W. Marsden turut mengemukakan teori berkaitan asal usul bahasa Melayu. Beliau merupakan seorang pegawai kongsi dagang Inggeris dari Syarikat Hindia-Timur British. Menurut kajian beliau, bahasa Melayu dan bahasa Polinesia berasal dari rumpun yang sama. Kedua-dua bahasa ini digunakan di beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Beliau juga merupakan orang pertama yang mengemukakan dan menyenaraikan kosa kata bahasa-bahasa dari Madagaskar di Lautan Hindi hingga ke Marquesas di Lautan Pasifik. Beliau turut menyatakan bahawa bahasa induk kepada bahasa-bahasa tersebut ialah Austronesia kerana terdapat kekerabatan antara bahasa tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa bahasa Melayu ermasuk dalam keluarga bahasa Nusantara iaitu serumpun dengan bahasa Mikronesia, Melanesia dan Polinesia di bawah induk bahasa Austronesia. Di samping itu juga, pengkaji bahasa iaitu J.C Leyden telah mengemukakan pendapat bahawa bahasa Melayu serupa dengan bahasa yang dituturkan di Indo-China  pendapat ini telah ditolak beliau dengan alas an bahawa pengkaji tersebut tidak mnyenaraikan perbendaharaan kata dalam sifatnya yang asal. Beliau terus mengkritik dengan mengatakan pengkaji yang tidak tahu mengenai kebudayaan sesebuah masyarakat yang menuturkan bahasa tersebut akan menyampaikan sesuatu yang lain daripada yang sebenarnya dan kajian yang dilakukan tidak sempurna.


2.2 Cabang-cabang bahasa Austronesia

Bahasa Melayu tergolong dalam cabang Nusantara dalam keluarga Austronesia. Cabang Nusantara mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200 hingga 300 bahasa. Bahasa-bahasa ini dapat dibahagikan kepada golongan-golongan tertentu. 


Bil.
Sub-Keluarga Bahasa
Jenis Bahasa
1.
Sumatera
Aceh, Melayu, bahasa-bahasa Batak (Karo, Toba, Ankola-Mandailing, dan sebagainya), Minangkabau, Nias, Lampung, dan Orang Laut.
2.
Kalimantan
Iban, Kenya-Kayan, dan Melanau
3.
Jawa
Sunda, Jawa, dan Madura
4.
Bali-Sasak
Bali, Sasak, Dan Sumbawa
5.
Filipina
Tagalog, Iloko, Bikol, Bisaya, Sulu, Palau, dan Tombulu
6.
Gorontalo
Gorontalo, Bulanga, Kaidipan, dan Buol
7.
Tomini
Tomini, Tolitoli, Tinombo, Umalasa dan Dampelasa
8.
Toraja
Kaile, Bare’e, dan Wotu
9.
Loinang
Loinang dan Banggai
10.
Bunku-Laki
Laki, Landawe, Mori dan Mapute
11.
Sulawesi Selatan
Makasar, Bugis dan Seko
12.
Muna-Butung
Muna-Butung, Butung Selatan, Kerompa, dan Wolio
13.
Bima-Sumba
Bima, Manggarai, Timor, Alor, Roti, Solor, Kro’e dan Kupang
14.
Ambon-Timur
Kai, Tanimber, Aru, Wetar, Bura, Goram, dan Bandar
15.
Sula-Bacon
Sula, Bacon, dan Taliabo
16.
Halmahera Selatan-Irian Jaya
Halmahera Selatan, Nufu, dan Kowiai
                        Jadual 1 : Subkeluarga Bahasa Nusantara



2.3 Perkembangan bahasa Melayu
         
Bahasa Melayu ialah subkeluarga bahasa melayu-Polinesia yang berada di bawan rumpun yang lebih besar, iaitu rumpun Austronesia. Bahasa Melayu telah digunakan di Kepulauan Melayu sejak lebih 1000 tahun yang lalu. Rekod awal yang menunjukkan kewujudan bahasa Melayu kuno adalah pada batu bersurat bertarikh 683 Masihi dijumpai di Sumatera Selatan. Atas alasan inilah, terdapat cendekiawan yang menyatakan bahawa bahasa Melayu berasal dari Sumatera Selatan. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei. Bahasa ini juga menjadi salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di negara Indonesia, bahasa Melayu disebut sebagai bahasa Indonesia, manakalah di Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Bahasa Melayu juga dituturkan oleh penduduk berketurunan Melayu di selatan Thailand, selatan Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan sebahagian kecil masyarakat di Afrika Selatan. Salah satu ciri penting bahasa Melayu ialah bersifat aglutinatif yang bermaksud makna perkataan boleh berubah apabila menerima imbuhan tertentu.

Bahasa Melayu dituturkan dalam pelbagai dialek. Di Malaysia sahaja terdapat berpuluh-puluh jenis dialek seperti dialek Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Johor dan Perak. Setiap dialek ini menampakkan perbezaan yang ketara, terutama dari segi sebuatan dan kosa kata. Sebagai contoh, bahasa Melayu jawa atau lebih tepat lagi bahasa Jawa mempunyai banyak perkataan yang tidak difahai oleh penutur bahasa Melayu yang lain. Terdapat juga dialek hasil pertembungan bahasa Melayu dengan dialek yang lain, misalnya bahasa Melayu yang dituturkan oleh baba dan nyonya di Melaka. Bahasa Melayu ini merupakan campuran antara bahasa Melayu dengan dialek Hokkien dan digunakan oleh masyarakat Cina peranakan atau Cina Selat, iaitu campuran pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Dialek ini dahulunya banyak digunakan di Negeri-negeri Selat sepeti Melaka dan Pulau Pinang. Namun demikian, kaum peranakan ini lebih gemar berbahasa Hokkien dan Inggeris dalam kalangan mereka.

 Penggunaan bahasa Melayu antara sebuah negara dengan negara yang lain berbeza bergantung pada sejarah dan budaya bahasa berkenaan. Pada tahun 1968, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara Malaysia, tetapi bahasa Inggeris masih digunakan dengan meluas, terutama dalam kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di negara Brunei. Keadaan ini berbeza dengan bahasa Indonesia yang berjaya menjadi bahasa perantaraan yang tunggal dan utama dalam kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa kerana usaha gigih kerajaan Indonesia yang menggalakkan penggunaan bahasa Indonesia. Dengan usaha yang gigih itu, dalam tempoh yang singkat bahasa Belanda tidak digunakan lagi. Di Timor Leste, iaitu negara yang baru bebas dari Indonesia dan telah mempunyai kerajaan sendiri, bahasa Indonesia diterima sebagai bahasa untuk kegiatan ekonomi. Di negara Singapura pula, bahasa Melayu masih dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Melayu. Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh penduduk di bahagian Selatan, iaitu orang Melayu Patani yang berketurunan Kesultanan Melayu Pattani. Walau bagaimanapun, bahasa ini tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan Thailand.

Oleh sebab penutur bahasa Melayu terdapat di kesemua negara di Asia Tenggara, maka pada tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) mencadangkan bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi bagi negara-negara anggota ASEAN.


                            3.0 KESIMPULAN
         
3.1 Rumusan

    Kesimpulannya,banyak teori mengenai asal-usul Bahasa Melayu telah dikemukakan oleh sarjana terdahulu. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Nusantara. Bahasa Nusantara mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu 200-300 bahasa. Bahasa Melayu merupkan salah satu daripada bahasa-bahasa tersebut dan termasuk dalam subkeluarga Indonesia Pusat. Dalam subkeluarga Indonesia Pusat itu, bahasa Melayu termasuk dalam golongan bahasa Sumatera, bersama-sama dengan bahasa Batak, Aceh, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut. Dari segi perkembangan bahasa Melayu, para pengkaji biasanya membahagikannya kepada empat peringkat, iaitu bahasa Melayu purba, bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu moden. Oleh itu, bahasa Austronesia tergolong dalam keluarga bahasa Austris. Keluarga ini sangat besar dan luas penyebarannya di dunia, iaitu dari Taiwan dan Hawaii du hujung utara hingga ke New Zealand di hujung selatan dari Madagascar jauh di barat hingga ke Pulau Eastern di hujung timur.

3.2 Keberkesanan

  Secara keseluruhannya, Rumpun Bahasa Melayu memainkan peranan penting pada masa ini. Oleh itu, tujuan pengkaji menghasilkan kajian ini dapat membuktikkan bahawa bahasa Melayu mempunyai asal usulnya yang tersendiri. Seterusnya, rumpun bahasa Melayu ini memainkan peranan penting dalam bahasa Melayu. Setiap masyarakat terutamanya bangsa Melayu perlulah mengetahui asal usul supaya bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang bukan sahaja diketahui oleh Negara Malaysia malah negara-negara yang lain. 


3.3 Cadangan


Rakyat Malaysia harus mengetahui asal usul bahasa Melayu agar generasi akan datang lebih menghargai bahasa Melayu. Selain itu, kerajaan perlu mewujudkan semula Kementerian Perpaduan agar masyarakat Malaysia dapat memupuk perpaduan dan integrasi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dengan penulisan blog pelajar atau pendidik dapat mencari maklumat serta mengetahui Rumpun bahasa Melayu secara lebih tepat dan benar. 


Bibliografi



Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain (2006). Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Asmah Haji Omar (2013). Sejarah Ringkas Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia.

Asmah Haji Omar (1993). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2016). Kuala Lumpur: Dewan        Bahasa dan Pustaka.

Noriah Mohamed (1999). Sejarah Sosiolinguistik. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Siti Hajar Abdul Aziz (2011). Bahasa Melayu Edisi Kedua. Selongar: UG Press Sdn. Bhd.

Zulkifley Hamid (2007). Linguistik Melayu. Selangor: Universiti Kebangsaan                Malaysia.              













Tiada ulasan:

Catat Ulasan